Wednesday, September 12, 2007
Pemilihan perabot buat ruang kecil tampak luas

PELBAGAI jenis perabot boleh disesuaikan dengan konsep.

PERABOT adalah antara bahan terpenting dalam usaha mewujudkan suasana indah untuk sesebuah rumah. Terpulanglah kepada pemilik untuk memilih sama ada perabot itu jenis yang berjenama, mahal, ringkas atau yang diperbuat daripada kayu.

Pemilihan perabot bergantung kepada keluasan ruang yang hendak dihiaskan. Pilihan yang bijak dapat menjadikan sesuatu ruang kecil itu kelihatan lebih luas.

Jika perabot yang dipilih tidak sesuai dengan ruang dan jenis rumah, ia akan menjadikan ruang berkenaan kelihatan semak dan tidak selesa. Malah, pemilihan warna perabot juga perlu untuk disesuaikan dengan warna dinding dan langsir.

Kini ada pelbagai jenis perabot termasuk kayu, buluh, besi dan kusyen daripada gentian lembut yang sesuai untuk semua jenis ruang sesebuah rumah.

Walaupun cita rasa masa kini lebih tertumpu kepada pemilihan perabot besi kerana rekaannya ringkas namun perabot yang diperbuat daripada rotan juga tidak harus dilupakan.

Biasanya hiasan sesebuah rumah diserikan dengan pelbagai jenis rekaan daripada berbagai jenis perabot sama ada antik dan moden.

Bagi mereka yang mahu menghias ruang tamu, perabot yang paling sesuai ialah set sofa serta dilengkapkan dengan rak buku rekaan ringkas.

Bagi ruang makan pula, pemilihan perabot berdasarkan kepada keluasan ruang yang ada, kerusi dan meja yang diperbuat daripada rotan adalah lebih sesuai.

Katil besi atau kayu adalah paling sesuai untuk bilik tidur utama dalam sesebuah rumah kerana rekaan perabot seumpama itu dapat melahirkan suasana kemas.

Begitu juga almari dan meja solek, gabungan perabot antik dan moden serta dilengkapkan dengan dua lampu tidur menjadikan ruang berkenaan lebih nyaman.

Suasana ini sesuai untuk membaca terutama kepada penghuni yang lebih gemar menghabiskan masa mereka di bilik untuk membaca dan mentelaah pelajaran.

Apa saja jenis perabot yang diletakkan di situ perkara yang perlu diambil perhatian ialah susun atur kerusi dan meja berkenaan hendaklah dilakukan dengan teliti dan kemas.

Penekanan perlu kerana jika susun atur perabot tidak diambil perhatian serius ia akan menyemakkan lagi keadaan yang ada.


just-ieta thought hard on 9:23 AM.
0 comments