Monday, May 19, 2008
Hentian Rehat Gua Musang





just-ieta thought hard on 1:38 PM.
0 comments



Tuesday, May 6, 2008
Casa Impian

Sebelum,
Tiga orang gadis muda yang tinggal di apartment ini telah cuba mengundang keceriaan pada ruang tamu ini melalui rawatan cat dan stensil. Rawatan stensil yang keterlaluan terutamanya buat ruang tamu nyata tidak bersesuaian.

Selepasnya,
Dalam sebuah gaya minima kerana saiz yang kecil, ruang ini berjaya ditransformasikan dengan elemen-elemen bunga dan warna yang dapat memberikan unsur keceriaan yang dicari.

-------------------------------------------------------------------------------------------------
Sebelum,
Bagi orang muda yang baru mula bekerja, menghasilkan sebuah ruang impian mungkin hanya tinggal impian… minggu ini sebuah ruang tamu bujang yang menggunakan sofa lama [recycle!] dan kekurangan aksesori basic, bakal menerima “''designer's touch"” untuk sebuah ruang yang selesa dan menawan.

Selepasnya,
Transfomasinya… sebuah ruang yang simple tanpa keterlaluan supaya mudah dijaga bersesuaian dengan gaya hidup pantas orang muda kini. Sebuah ruang dalam status “"magazine cover"” dapat dicipta untuk fungsi gaya hidup orang bujang dalam gaya kosmopolitan ini.

-------------------------------------------------------------------------------------------------
Sebelum,
Ruang tamu tipikal & set sofa yang bulky dalam corak yang "busy" dan sebuah shelf display untuk tv/radio yang "crowded"... kesemuanya memberikan penataan yang melakarkan kebosanan.

Selepasnya,
Dekorasi "tasteful"  dengan perabot minima telah diundang ke ruang ini untuk menggantikan gaya tipikal dengan gaya designer lantai Pergo [edaran Floor Biz] yang bertona cokelat muda dan dinding fokus biru segar dari ICI Dulux berfungsi sebagai asas gaya moden yang dicari.

-------------------------------------------------------------------------------------------------
Sebelum,
Ruang tamu yang memanjang dan "odd-shaped"  ini dibiarkan tanpa hiasan kerana tuan rumah berputus asa dan kebuntuan idea tentang gaya dan hiasan yang dapt mencantikkan ruang utama kediaman ini..

Selepasnya,
Sebuah suasana damai tercipta di ruang tamu melalui penggunaan perabot kayu jati yang digandingkan dengan tumbuhan eksotik hijau untuk mencipta gaya ketimuran ini.

-------------------------------------------------------------------------------------------------
Sebelum,
Ruang tamu apartment kecil ini mempunyai beberapa “"challenge"” hiasan yang harus diselesaikan sambil memberi sebuah wajah baru yang “"impressive"”.

Selepasnya,
Konsep pilihan, “urban glamour” sesuai buat sebuah ruang kediaman yang kecil ini dan praktikal bagi gaya hidup di kota.

-------------------------------------------------------------------------------------------------
Sebelum,
Sebuah ruang tamu lama yang menanti ketibaan pengubahsuaian Casa Impian.

Selepasnya,
transformasi…keanggunan gaya Inggeris yang lengkap menukar wajah ruang tamu lama.

-------------------------------------------------------------------------------------------------
Sebelum,
...ruang tamu lama yang murung di sebuah rumah teres bakal menerima pengubahsuaian yang mengejutkan…

Selepasnya,
Transformasi indah… terciptanya sebuah ruang tamu dengan gaya pilihan ‘"Arabian Nites" dalam suasana timur tengah yang eksotik.

-------------------------------------------------------------------------------------------------
Sebelum,
Bilik tidur ini nampak kurang menarik dengan beberapa dilemma hias yang harus diperbetulkan.

Selepasnya,
Transformasi..bagai bilik resort percutian, ruang tidur ini nampak cukup mengundang sebagai sebuah ruang peribadi.

-------------------------------------------------------------------------------------------------
Sebelum,
Bilik tidur ini hanyalah sebuah ruang kosong yang hilang fungsi sebagai ruang cozy yang dapat melarikan tuan rumah ke sebuah dimensi tenang dan selesa.

Selepasnya,
Sebuah transformasi banggaan &choas terdahulu berjaya digantikan dengan sebuah dimensi elegan yang mengundang dari setiap sudut. Dinding utama diberi seri anggun dengan tona keungguan dari ICI Dulux dan diserikan dengan sebuah pendant light bergaya feminin koleksi Lightcraft. Latai pula diberi rawatan laminated flooring Pergo [edaran Floor Biz] untuk keselesaan muktamad di ruang tidur dalam sebuah tona romantik.


just-ieta thought hard on 2:00 PM.
0 comments



Monday, May 5, 2008
Coretan Angkasawan: Kasih sayang keluarga pendorong kejayaan

HAMPIR setiap orang mempunyai adik-beradik dan saya juga tidak terkecuali. Memang seronok mengenang kisah adik-beradik ketika kecil yang penuh dengan pengalaman suka dan duka. Ini yang menyebabkan kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman mengenai kisah adik-beradik kami yang semuanya lima orang dan semuanya lelaki.

Kami dibesarkan dalam suasana yang ceria dan penuh kasih sayang. Abang yang sulung, Sheikh Ahmad, 37, seorang peguam, manakala Sheikh Taufik, yang setahun lebih muda adalah seorang akauntan.

Saya sendiri yang berumur 35 tahun adalah doktor ortopedik. Dua adik saya, Sheikh Mustapha, 32, jururancang perumahan dan yang bongsu, Sheikh Arwiz, 29, seorang akauntan.

Hubungan kami sangat akrab walaupun kadang-kadang masa tidak mengizinkan memandangkan masing-masing sibuk dengan kerjaya sendiri. Kami akan pastikan berjumpa seminggu sekali untuk mengetahui perkembangan terkini dan mengeratkan ikatan persaudaraan agar sentiasa kukuh.

Memori manis ketika zaman kanak-kanak sentiasa bermain di fikiran saya. Untuk pengetahuan pembaca Berita Minggu, saya dilahirkan di Hospital Assunta, Petaling Jaya sebelum berpindah ke Seremban.

Sebahagian besar zaman kanak-kanak dan remaja saya adalah di Negeri Sembilan. Ketika itu, sukar juga ibu menjaga kami yang boleh dianggap agak nakal.

Kami sering bergaduh dan bertengkar, tetapi itulah keistimewaan kami yang dididik untuk makan bersama, mengaji bersama, tidur bersama dan segala-galanya bersama. Hubungan antara kami sungguh rapat.

Alhamdulillah, kami dibesarkan dalam suasana positif. Ayah sentiasa menekankan sikap berdikari, disiplin dan kekuatan mental .

Ayah mempunyai pendirian yang berbeza dengan orang lain kerana tidak pernah membawa kami menonton wayang kerana dianggap membazir. Sebaliknya, kami diajar berenang sejak umur tiga tahun lagi dan menyertai pelbagai pertandingan sehingga remaja.

Memenangi pelbagai piala sudah menjadi lumrah dan kami sering bersaing antara satu sama lain. Ayah membuat keputusan memasukkan kami semua ke sekolah berasrama penuh untuk belajar erti kehidupan bergaul bersama masyarakat.

Ketika itu, saya amat pantang menerima kekalahan. Setiap perkara yang dilakukan, saya pastikan akan mencapai kemenangan walaupun perkara itu kecil seperti perlawanan badminton dan perdebatan. Itulah sifat yang diterapkan sejak kecil.

Bagaimanapun, ada masanya saya kalah, tetapi saya akan pastikan mencapai kemenangan keesokan hari. Kami sungguh kompetitif hingga sekarang, baik dalam pelajaran mahu pun kehidupan. Mungkin sikap ini yang membantu saya hingga terpilih menjadi Angkasawan Negara.

Sekarang kami semua dewasa. Ada yang berkeluarga. Kadang-kadang saya tersenyum sendirian mengingatkan kembali kenangan lama. Masing masing berjaya dan sibuk dengan tugasan.

Dua daripada kami sudah berkeluarga. Kami semua mengikut jejak ayah yang mendirikan rumah tangga agak lewat. Ayah juga berkahwin ketika berumur 33 tahun. Alasannya? Ayah sering berkata kukuhkan dulu kewangan, emosi dan keimanan sebelum mendirikan rumah tangga.

Pastikan kehidupan stabil terdahulu dan benar-benar bersedia sebelum menamatkan zaman bujang. Kata-katanya kami ambil sebagai pedoman. Saya bersyukur kerana kami berlima masih rapat dan sentiasa memberi sokongan padu untuk berjaya.

Yang menarik ialah tiga daripada kami menyertai program angkasawan dan sentiasa berbincang mengenai strategi yang harus dilakukan.

Sheikh Ahmad berjaya hingga ke peringkat 100 peserta terakhir. Sheikh Arwiz hingga ke 59 peserta terakhir dan saya sendiri meneruskan cabaran dengan sokongan tidak terhingga dari belakang takbir.

Adik beradik sentiasa memberi dorongan dan ini menguatkan tekad saya untuk meneruskan cabaran. Ketika di Russia selama setahun, kami sering berbual melalui telefon mahupun emel agar saya meneruskan perjuangan dan tidak sekali-kali putus asa. Itulah kehebatan kami berlima .

Apabila arwah adik, Sheikh Mustapha, meninggal dunia, saya masih berada di ISS. Ia memberi impak mendalam buat kami sekeluarga. Bagaikan tali yang terputus. Di saat genting, kami kehilangan seorang adik yang amat disayangi.

Kami tidak sangka kejadian ini boleh berlaku. Penjelajahan saya ke angkasa lepas amat berisiko tinggi, tetapi siapa sangka adik tersayang di bumi yang melalui bencana. Inilah suratan takdir dan kesannya saya rasai hingga kini.

Demi ibu, kami harus kuat mengharunginya ujian ini. Saya berasa kesal kerana tidak berkesempatan memberitahu Ajil (nama panggilan Sheikh Mustapha) mengenai kasih sayang ini kerana terlalu sibuk dengan program angkasawan sejak kebelakangan ini.

Kepada adik-adik di luar sana, ‘don’t take things for granted’. Luahkan kasih-sayang kepada orang tersayang baik ibu-bapa mahupun keluarga kerana hidup ini tiada kepastian. Allah menentukan segala-galanya. Kita hanya mampu berusaha. Hidup ini penuh dengan liku-liku dan kita harus tabah melaluinya.


Soalan:

Saya bangga dengan kejayaan Dr mengharumkan nama negara. Soalan saya ialah adakah penghidap skoliosis layak bergelar angkasawan jika mempunyai kelayakan dan minat mendalam. Saya juga ingin tahu sama ada Dr mempelajari bahasa Russia kerana minat atau diwajibkan?

Nur Farzana Muhamad Ismail
Jawapan

Tahap kesihatan yang tinggi diperlukan untuk menjadi angkasawan. Skoliosis yang Nur Farzana tanyakan adalah penyakit tulang spina yang tidak mempunyai penjajaran (alignment) yang normal. Pesakit mengalami kesakitan tulang belakang yang bergantung kepada tahap keparahan (degree of severity).

Lazimnya pesakit skoliosis tidak dibenarkan menjadi angkasawan kerana mungkin akan menghadapi masalah apabila berada dalam keadaan graviti mikro. Malah dalam keadaan normal, 30 hingga 40 peratus astronaut mengalami kesakitan tulang belakang (backache) di angkasa lepas akibat pelbagai faktor seperti ketegangan ligamen spinal.

Mengenai bahasa Russia, oleh kerana latihan dijalankan di negara itu, amat penting bagi setiap angkasawan menguasai bahasa Russia yang juga bahasa komunikasi di StarCity dan ISS. Semua astronaut dan cosmonaut boleh berbahasa Inggeris dan Russia. Angkasawan negara juga tidak terkecuali.


just-ieta thought hard on 11:54 PM.
0 comments




Mandi Kolam Renang





just-ieta thought hard on 6:27 AM.
0 comments



Saturday, May 3, 2008
Blaine cipta rekod tahan nafas

AHLI silap mata terkenal, David Blaine mencipta rekod baru kelmarin dengan menahan nafas dalam air selama 17 minit dan empat saat dalam aksi yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Aksi itu disiarkan dalam program The Oprah Winfrey Show dan penonton di sebuah studio di Chicago, Amerika Syarikat (AS) bersorak selepas Blaine ditarik keluar dari satu tangki air berbentuk sfera.

Dia kelihatan bersantai selepas melakukan aksi itu dan menyatakan rekod itu merupakan impiannya sebelum ini.

Menurut Guinness World Records, rekod menahan nafas dalam air sebelum ini dicatatkan oleh Peter Colat dari Switzerland selama 16 minit dan 32 saat pada 10 Februari.

Sebelum dia memasuki tangki air itu, Blaine menyedut oksigen menerusi satu topeng bagi membolehkan darahnya dipenuhi dengan oksigen dan karbon dioksida dikeluarkan.

Berdasarkan peraturan Guinness, menyedut oksigen secara keterlaluan selama 30 adalah dibenarkan untuk melakukan aksi itu.

Ketika Blaine mula melakukan aksi itu, pengacara program itu, Winfrey berasa gelisah ketika duduk di atas kerusi.

Winfrey juga kerap mendapatkan maklumat mengenai kadar degupan jantung ahli silap mata itu daripada doktor yang duduk di sebelahnya.

"Saya berasa gembira semuanya sudah berakhir. Saya tidak suka suspen," katanya kepada penonton.

Ungkapan pertama yang dikeluarkan oleh Blaine selepas berjaya memecahkan rekod dunia adalah: "Saya berasa seronok."

"Sebenarnya, saya mula berasa ragu berhubung aksi yang bakal saya lakukan kerana saya tidak pernah melakukannya," katanya.

Winfrey turut memberitahu Blaine bahawa aksi itu mencetuskan ketegangan di kalangan penonton.

Ketika aksi itu dilakukan, anggota-anggota pasukan menyatakan degupan jantung ahli silap mata itu sepatutnya lebih rendah berbanding yang dicatatkan oleh Blaine.

Blaine yang berumur 35 tahun itu juga mengetahui bahawa jantung berdegup kencang ketika aksinya itu kian berakhir.

Ketika Winfrey bertanya kepada ahli silap mata itu apakah yang difikirkannya ketika melakukan aksi tersebut, Blaine berkata: "Anda."

Ahli silap mata itu memakai pakaian sut berwarna perak ketika memasuki tangki yang dipenuhi dengan 8,183 liter air.

"Tidak ada penipuan," kata Blaine kepada Winfrey selepas aksi itu.

Menurutnya, aksi yang dilakukannya itu bukan silap mata tetapi mengenai ketahanan fizikal tubuh manusia yang dilakukan di luar kemampuan biasa.

Ketika memberikan komen sebelum melakukan aksi itu, dia lebih teruja berbanding berasa gementar dan ketawa apabila hos program tersebut bertanya jika Blaine mempunyai wasiat sebelum meninggal dunia.

Sebelum ini, Blaine pernah melakukan aksi seperti ditanam hidup-hidup selama seminggu dengan berada di dalam keranda yang boleh dilihat orang ramai.

Dia juga tinggal selama sebulan dalam sebuah kotak yang digantung di tepi tebing Sungai Thames, London. - Agensi



just-ieta thought hard on 1:02 AM.
0 comments