Saturday, May 3, 2008
Blaine cipta rekod tahan nafas

AHLI silap mata terkenal, David Blaine mencipta rekod baru kelmarin dengan menahan nafas dalam air selama 17 minit dan empat saat dalam aksi yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Aksi itu disiarkan dalam program The Oprah Winfrey Show dan penonton di sebuah studio di Chicago, Amerika Syarikat (AS) bersorak selepas Blaine ditarik keluar dari satu tangki air berbentuk sfera.

Dia kelihatan bersantai selepas melakukan aksi itu dan menyatakan rekod itu merupakan impiannya sebelum ini.

Menurut Guinness World Records, rekod menahan nafas dalam air sebelum ini dicatatkan oleh Peter Colat dari Switzerland selama 16 minit dan 32 saat pada 10 Februari.

Sebelum dia memasuki tangki air itu, Blaine menyedut oksigen menerusi satu topeng bagi membolehkan darahnya dipenuhi dengan oksigen dan karbon dioksida dikeluarkan.

Berdasarkan peraturan Guinness, menyedut oksigen secara keterlaluan selama 30 adalah dibenarkan untuk melakukan aksi itu.

Ketika Blaine mula melakukan aksi itu, pengacara program itu, Winfrey berasa gelisah ketika duduk di atas kerusi.

Winfrey juga kerap mendapatkan maklumat mengenai kadar degupan jantung ahli silap mata itu daripada doktor yang duduk di sebelahnya.

"Saya berasa gembira semuanya sudah berakhir. Saya tidak suka suspen," katanya kepada penonton.

Ungkapan pertama yang dikeluarkan oleh Blaine selepas berjaya memecahkan rekod dunia adalah: "Saya berasa seronok."

"Sebenarnya, saya mula berasa ragu berhubung aksi yang bakal saya lakukan kerana saya tidak pernah melakukannya," katanya.

Winfrey turut memberitahu Blaine bahawa aksi itu mencetuskan ketegangan di kalangan penonton.

Ketika aksi itu dilakukan, anggota-anggota pasukan menyatakan degupan jantung ahli silap mata itu sepatutnya lebih rendah berbanding yang dicatatkan oleh Blaine.

Blaine yang berumur 35 tahun itu juga mengetahui bahawa jantung berdegup kencang ketika aksinya itu kian berakhir.

Ketika Winfrey bertanya kepada ahli silap mata itu apakah yang difikirkannya ketika melakukan aksi tersebut, Blaine berkata: "Anda."

Ahli silap mata itu memakai pakaian sut berwarna perak ketika memasuki tangki yang dipenuhi dengan 8,183 liter air.

"Tidak ada penipuan," kata Blaine kepada Winfrey selepas aksi itu.

Menurutnya, aksi yang dilakukannya itu bukan silap mata tetapi mengenai ketahanan fizikal tubuh manusia yang dilakukan di luar kemampuan biasa.

Ketika memberikan komen sebelum melakukan aksi itu, dia lebih teruja berbanding berasa gementar dan ketawa apabila hos program tersebut bertanya jika Blaine mempunyai wasiat sebelum meninggal dunia.

Sebelum ini, Blaine pernah melakukan aksi seperti ditanam hidup-hidup selama seminggu dengan berada di dalam keranda yang boleh dilihat orang ramai.

Dia juga tinggal selama sebulan dalam sebuah kotak yang digantung di tepi tebing Sungai Thames, London. - Agensi



just-ieta thought hard on 1:02 AM.